
PENDUDUK Jakarta kini mencapai 22 juta orang - jumlah yang besar dan hampir menyamai keseluruhan rakyat Malaysia. Tidak hairan pada musim cuti panjang di Taman Impian Ancol atau lebih dikenali sebagai Disneyland Jakarta, pengunjung terpaksa menunggu antara 30 minit hingga sejam untuk menaiki satu permainan.
Ini belum dikira kesesakan di kompleks beli-belah seperti Mangga Dua apabila mereka yang kurang sihat, terutama pesakit asma, dinasihatkan tidak menghampiri kompleks itu pada musim cuti bagi mengelak kelemasan.
Persoalannya, selain berehat di rumah, ke mana penduduk Jakarta menghabiskan cuti panjang atau hujung minggu selepas sepanjang minggu berdepan kehidupan sibuk dan kesesakan di kota terbesar di Indonesia itu?
Peluang menyertai delegasi De Classic Life (M) Sdn Bhd (DCL) dan D'Navechee di dalam Seminar Pelancongan Jakarta-Puncak-Bandung ketika cuti Krismas lalu, jelas menunjukkan percutian di kawasan tinggi menjadi pilihan warga Jakarta.
Jika Genting Highlands dan Cameron Highlands menjadi antara destinasi percutian paling digemari warga Kuala Lumpur, Puncak dan Bandung pula menjadi pilihan penduduk Jakarta.
Perbezaannya ialah, bandar Bandung, sekalipun hanya kira-kira dua setengah jam perjalanan dari Jakarta, mempunyai kepadatan penduduk seramai enam juta orang, dengan `factory outlet', terutama yang menjual pakaian seperti jeans, barangan kulit dan kasut, menjadi tarikan utama.
Di Malaysia, Bandung mungkin terkenal di kalangan penggemar mi bandung atau air bandung, namun mengikut pemandu pelancong kami yang hanya dikenali sebagai `Andy', Bandung adalah kota yang melahirkan ramai jelitawan di Indonesia yang dikenali sebagai `Gadis Sunda'.
Tidak hairan apabila jurujual di kompleks beli-belah di kota itu boleh `berentap' dengan artis di Malaysia, dengan sesetengah daripada mereka jauh lebih jelita.
Namun, kejelitaan mereka ditenggelamkan harga barangan yang murah, menyebabkan waktu yang diberikan untuk membeli-belah di kota Bandung dirasakan terlalu singkat.
Bagi yang ingin bebas sepenuhnya daripada kehidupan kota, Bandung menawarkan percutian berasaskan alam semula jadi antara yang terbaik didunia seperti Gunung Tangkuban Perahu yang sungguh popular.
Pusat pelancongan gunung berapi itu terletak kira-kira 30 kilometer atau 45 minit perjalanan dari Bandung. Namun, rombongan DCL dan D'Navechee tempoh hari tidak berkesempatan melawat pusat itu berikutan hujan lebat.
Bagaimanapun, kami tetap berkesempatan merendam kaki dalam air panas di kawasan Air Panas Sari Ater. Air panas mengandungi campuran belerang gunung berapi itu dikatakan boleh menyembuhkan penyakit kulit.
Rombongan kemudian bertolak dan bermalam di sebuah lagi kawasan peranginan tinggi, iaitu Puncak. Di sini, semua hotelnya tidak memasang alat pendingin hawa berikutan suhu semula jadi memang rendah.
Di Puncak, antara kawasan pelancongan utama ialah Istana Raja Bogor. Untuk memasuki kawasan yang terletak di kawasan paling tinggi di Puncak ini, anda harus meninggalkan kasut/selipar di pondok pengawal sebelum berjalan berkaki ayam merentasi tali air daripada air bukit berhampiran yang dingin.
Yang pasti, ada di Puncak memberi ketenangan klasik kerana bukan saja dihimpit kedinginan asli dan sumber udara yang bersih, tetapi pemandangan melihat deretan ladang teh yang tersusun indah menyebabkan anda terlupa masalah dunia buat sementara waktu.
Tidak hairan tempoh sejam yang diberikan pemandu pelancong tidak mencukupi apabila ramai ahli rombongan DCL dan D'Navechee terlewat, terutama bagi yang ingin mengabadikan gambar kenangan di cenderahati berbentuk piring.
Selepas tiga hari menjelajah Bandung dan Puncak, rombongan kembali ke Jakarta untuk dua hari terakhir. Selain dua sesi membeli-belah di Mangga Dua bermula dengan masa sejam yang diberikan sebelum hari kedua dipanjangkan kepada lima jam yang jelas tidak mencukupi, ahli rombongan turut dibawa ke Taman Mini Indonesia Indah (TMII).
TMII yang dibina 30 tahun lalu dengan kos RM44 juta hasil ilham Ibu Tien Suharto, isteri Presiden Indonesia ketika itu.
Dengan 24 daya tarikan utama, termasuk Panggung Keong Emas Imax dan 26 kawasan lain yang mewakili budaya setiap wilayah di seluruh Indonesia, taman itu berkembang daripada kawasan seluas 100 hektar kepada 150 hektar, dan menerima kira-kira 100 juta pengunjung sejak 20 April 1975.
Keluarga Suharto juga menyelitkan sedikit sebanyak mengenai kehidupan mereka di taman itu seperti Muzium Purna Bhakti Periwi atau lebih dikenali sebagai Muzium Suharto, menempatkan koleksi hadiah yang diterima keluarga itu daripada kenalan mereka di seluruh dunia.
Walaupun kewujudannya penuh kontroversi, TMII hari ini diiktiraf sebagai `Taman Rakyat' kerana harga tiket murah untuk memasukinya, berbanding kawasan tarikan lain di Jakarta seperti Taman Impian Ancol.
Untuk memasuki Taman Mini, pengunjung perlu membayar 50 sen manakala untuk memasuki Taman Permainan Air di Ancol, mereka perlu membayar kira-kira RM12.
Cara ke Jakarta-Bandung-Puncak Banyak penerbangan harian, terutama Air Asia dan Penerbangan Malaysia (MAS) secara terus dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Dari Jakarta, anda boleh menaiki kenderaan awam seperti bas, teksi atau kereta api ke Bandung dengan masa perjalanan antara dua hingga tiga jam saja.
Bagi yang ingin ke Bandung terlebih dulu, boleh menaiki penerbangan terus Air Asia kira-kira jam 7 pagi setiap hari.
Publication : MA
Date : 14/01/2007
Headline : Percutian di tanah tinggi
Byline : Oleh Zainuddin Zain
No comments:
Post a Comment